Sunday 29 May 2011

MyHEALTH

MyHEALTH

Teknik Tepuk Bantu Masalah Bayi Berkahak



SITI Farah Aini Jamaludin menunjukkan alat bantuan perubatan yang digunakan dalam kes mengeluarkan kahak daripada kerongkong bayi.

BATUK dan selesema adalah dua masalah yang boleh dikatakan pasti berlaku pada setiap bayi. Tidak kira musim sejuk atau panas, simptom tersebut boleh menjadi kronik kepada kesihatan bayi kerana kesukaran mereka untuk mengeluarkan kahak dan hingus boleh menjadi punca penyakit seperti bronkitis atau brochospasm.
Saat masalah tersebut berlaku pada bayi, pasti ibu bapa akan berasa gusar kerana bayi belum mempunyai kepandaian untuk mengeluarkan kahak mahupun menghembus hingus mereka sendiri.
Sebab itulah ada ibu atau bapa yang prihatin sanggup menyedut hingus pada hidung bayi mereka kerana khuatir keadaan tersebut akan membuatkan bayi tidak selesa untuk bernafas.
Syabas kepada ibu bapa yang sanggup melakukan yang terbaik demi kesihatan anak mereka, tapi alangkah lebih bagusnya jika mereka mengetahui tentang teknik fisioterapi yang terbukti boleh memberikan bayi lebih kelegaan daripada masalah batuk dan selesema yang dihadapi.
Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Pakar Alpha, Siti Farah Aini Jamaludin berkata, bayi di bawah usia dua tahun memang kerap mengalami bronchospasm iaitu bengkak dan pengecutan dalam paru-paru.
"Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, selesema dan sesak nafas. Penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa tapi lebih bermasalah jika ia menyerang bayi kerana mereka tidak berupaya mengeluarkan kahak sendiri," ujarnya ketika ditemui di klinik fisioterapinya di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.
Pengalaman
Berdasar pengalamannya selama lebih tujuh tahun melakukan fisioterapi di pusat-pusat perubatan sebelum ini, kanak-kanak di bawah usia lima tahun sering berhadapan dengan masalah bronkitis atau bronkospasm.
"Ibu bapa biasanya akan merujuk anak mereka ke hospital apabila mendapati anak mereka menghadapi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, pernafasan berbunyi serta simptom seakan penyakit asma.
"Sebenarnya jika ibu atau bapa mempunyai sedikit ilmu fisioterapi, mereka boleh mempraktikkan kepada bayi mereka agar tidak mudah berlaku jangkitan lain terhadap bayi.
"Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakan percussion ke atas bayi mereka.
"Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.
"Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.
"Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka," jelas Siti Farah.
Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.
Siti Farah berkata, bayi yang kesnya dirujuk ke fisioterapi oleh doktor, biasanya akan melalui fisioterapi pada bahagian dada.
"Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor pula untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizer adalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit.
"Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah tersebut," katanya.
Menurut Siti Farah lagi, apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat.
Selepas tepukan, mesin penyedut kahak akan digunakan bagi membantu bayi mengeluarkan kahak dan hingus mereka.
"Saya memang faham perasaan ibu yang menangis dan tidak sanggup melihat bayi mereka melalui prosedur tersebut. Tetapi ibu atau bapa perlu tahu, proses tersebut tidak menyakitkan ia cuma tidak selesa pada bayi dan kita sukar untuk mententeramkan bayi.
"Adakalanya juga ketika proses menyedut kahak dan hingus akan keluar bersama sedikit darah, ibu bapa jangan panik. Mereka perlu faham keadaan tersebut berlaku kerana saluran pernafasan anak terlalu sempit dan masih lembut.
"Apabila anak meronta, ia hanya akan menyebabkan kesukaran kepada bayi itu sendiri juga mendatangkan kerisauan kepada si ibu yang melihatnya," ujar Siti Farah.

Sumber: Utusan Malaysia

Saturday 28 May 2011

Berita Harian Online | Pandora di hati Siti

Berita Harian Online | Pandora di hati Siti

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
2011/05/28

pix_gal0
Penyanyi Biarlah Rahsia kongsi minat bersama suami pilih aksesori charm dari koleksi Moments Habib Jewels

MUNGKIN dulu pilihan aksesorinya terbatas, cukup sekadar mengenakan anting-anting sebagai pelengkap gaya glamour tatkala muncul di atas pentas.
Namun selepas bergelar isteri kepada usahawan, Datuk Khalid Mohd Jiwa, perlahan-lahan minat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terhadap aksesori semakin tumbuh.
Semuanya kerana pengaruh suami yang begitu menitikberatkan penampilan, membuatkan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu semakin mementingkan pilihan aksesori sesuai.

Selain gemar mengumpul jam tangan berjenama mewah, Siti juga tertarik dengan rantai tangan ringkas dan comel tetapi menyerlahkan gaya moden.

Tatkala ditawarkan Habib Jewels untuk menggayakan koleksi Moments daripada siri charm eksklusif, Pandora, Siti teruja menceritakan detik awal perkenalannya dengan jenama yang bermula di Copenhagen, Denmark pada 1982 itu.

“Siti mengenali Pandora tahun lalu ketika bersama suami bercuti di Eropah. Suami membawa Siti ke sebuah butik yang menjual aksesori itu namun hati belum terdetik untuk memilikinya.
“Ketika bercuti di Hong Kong, sekali lagi Siti mengunjungi butik Pandora dan mula tertawan dengan koleksinya yang comel serta menarik.

“Melihat reka bentuknya yang bebas disesuaikan mengikut cita rasa sendiri, Siti terfikir mengapa tidak memilikinya bagi melengkapkan penampilan pada hari santai,” katanya yang ditemui di ruang pameran Habib Jewels di Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Koleksi pertama rantai tangan Charm Pandora kata Siti, dibelinya bersama suami ketika mereka keluar bersantai di pusat beli belah, Pavilion, Kuala Lumpur.

Siti akui, ketika berada di kaunter itu pancainderanya bagaikan dipukau dengan setiap rekaan charm yang dicadangkan kepadanya.

Setiap satu charm yang dipilih melingkari pergelangan tangannya kata penyanyi Biarlah Rahsia ini, mempunyai makna tersendiri dalam kehidupannya.

Paling istimewa, charm yang mempunyai abjad K iaitu permulaan nama suaminya yang dipilih Siti sendiri sebagai tanda ingatan terhadap suami.

“Siti hampir rambang mata ketika mahu memilih kerana terlalu banyak charm yang menarik dan cantik. Setiap satunya begitu comel, membuat Siti leka menatap.

“Istimewanya Pandora, si pemakai boleh membeli sedikit demi sedikit charm mengikut kesesuaian bajet sebelum ia lengkap menjadi sebuah aksesori yang menawan,” katanya.

Setiap kali menatap rantai tangan itu Siti berkata, ia secara tidak langsung pantas membawanya mengimbas segala detik manis perjalanan yang dilaluinya bersama suami.

Serasi dengan motto Pandora yang memberi penghargaan kepada wanita yang berjaya dalam karier dan kehidupan, memilikinya juga menjadi pelengkap kepada perjalanan hidup Siti sendiri.

“Siti masih belum pandai dalam aspek pemilihan aksesori. Setiap kali jika menginginkan sesuatu koleksi, Siti akan datang bersama suami yang jauh lebih mahir dalam menilai kualiti aksesori pilihan.

“Dia sentiasa memperkemaskan pengetahuannya mengenai setiap koleksi terkini, jadi selalunya apa yang Siti gayakan lebih kepada pilihan dan cita rasa suami.

“Seperti rantai tangan Pandora ini, Siti lihat ia sebagai hadiah yang menyimpan pelbagai kenangan selama menjadi isteri.” katanya.

Apa yang membuat Siti selesa, Pandora boleh digayakannya pada bila-bila masa dan mudah untuk disuai padan dengan persalinan kasual jika dia tidak terikat sebarang persembahan pentas.

“Bagaimanapun, pilihan aksesori Siti akan berubah apabila menghadiri majlis makan malam atau jemputan rasmi. Sering Siti akan memilih aksesori daripada emas, permata atau berlian sebagai pelengkap gaya.

“Tetapi jika terikat dengan persembahan pentas, Siti cuma memerlukan anting-anting bergaya mewah untuk menceriakan penampilan kerana persalinan sudah sarat,” katanya.

Siti berkata, ketika remaja dulu dia selesa bergaya ringkas malah pemilihan aksesori kurang dititikberatkan kerana cenderung dengan suasana hidup yang aktif dan pantas.

Bagaimanapun, perkahwinan dengan Khalid mengubah persepsinya terhadap aksesori. Ia tidak lagi dilihat sekadar pelengkap gaya, sebaliknya membantu menyerlahkan penampilannya di mata umum.

“Banyak perkara mengenai kecantikan dan pemilihan aksesori bersesuaian yang Siti belajar daripada suami. Awal perkahwinan dulu, Siti gemar mengumpul jam tangan.

“Kebetulan suami juga mempunyai minat yang sama, jadi kami berdua sering berkongsi pandangan. Kebelakangan ini Siti semakin tertarik dengan koleksi Pandora.

“Ia boleh dipakai setiap hari dan nampak manis apabila digayakan. Lebih menarik kerana ia menyimpan memori yang tersendiri antara Siti dan suami membuatkan Siti tidak menolak untuk menambah lagi koleksi jenama ini,” katanya.

Berita Harian Online | Puting beliung di Missouri: Semua rakyat Malaysia selamat

Berita Harian Online | Puting beliung di Missouri: Semua rakyat Malaysia selamat

Manusia wajar ikhtiar elak musibah, usah persalah takdir Oleh Mohd Ali Muhamad Don

24/05/2011
SATU daripada asas keimanan ialah keyakinan setiap yang terjadi dengan izin Allah. Dalam hal ini, manusia boleh berusaha menolak kejadian tidak diingini dengan melakukan sesuatu sesuai menurut peraturan ditetapkan.

Kemudian, jika masih berlaku juga perkara buruk dan tidak diingini, seseorang wajib kembali kepada kepercayaan qada dan qadar Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan.
Kebiasaannya apabila berlaku sesuatu yang menggembirakan, ia disambut dengan penuh kegembiraan sehingga terkadang lupa bersyukur kepada Allah.
Sebaliknya jika terjadi perkara buruk, ternyata sukar se-gelintir manusia terutama yang lemah iman menerima takdir Allah. Malah jika diperhalusi di sini letaknya ketinggian nilai seorang hamba di sisi Allah.

Apatah lagi jika gagah mengharungi ujian dan dugaan diterima, terlebih mulia lagi jika segala ujian diterima dengan reda demi mempertahankan kesucian akidah Islamiah.

Diriwayatkan sebilangan sahabat diseksa kerana mempertahankan agama mereka mengadu kepada Nabi Muhammad SAW sambil bertanya mengapa Nabi tidak memohon pertolongan Allah bagi membantu mereka yang teraniaya.

Lalu Baginda Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ada orang terdahulu dikorek lubang lalu mereka ditimbus di dalamnya. Kemudian ada digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, ada pula disiat tubuhnya menggunakan sesikat besi sehingga mengoyakkan daging dan menampakkan tulang.
Namun ia tidak meleburkan pegangan agama mereka. Demi Allah sesungguhnya urusan agama ini pasti disempurnakan sehingga orang bermusafir daripada San’aa ke Hadramaut tidak lagi takut kepada Allah dan bimbang ancaman serigala terhadap kambingnya. Akan tetapi kamu terlalu gopoh.” (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, rintangan adalah asam garam kehidupan. Sebagai hamba Allah, kita wajib menerima ketentuan baik dan buruk dengan lapang dada. Selain itu kita wajib percaya Allah Maha Mengetahui lagi Maha adil terhadap hamba-Nya.
Manusia disuruh berikhtiar mengelak musibah dan kejadian buruk tidak diingini. Malah dalam sesetengah situasi, ketentuan Tuhan boleh dielakkan melalui senjata doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi.

Kejadian tanah runtuh ymeragut nyawa 16 penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor, patut dijadikan iktibar. Elakkan menyalahkan takdir atau menerima takdir tanpa berusaha.

Sehubungan itu juga, pembinaan kawasan penempatan yang berpotensi mengundang kejadian tanah runtuh hendaklah dielakkan. Dengan keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini kemungkinan berlaku tanah runtuh, banjir kilat dan lain-lain musibah sukar dijangkakan.

Menjadi tanggungjawab semua berwaspada tanpa bersikap prejudis menuduh sesama sendiri setiap kali peristiwa buruk berlaku.

Kali terakhir negara menyaksikan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa ialah pada 6 Disember 2008. Kejadian di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, mengorbankan nyawa lima penghuni rumah banglo di kawasan itu selain meranapkan 14 buah rumah banglo lain.

Persoalannya adakah peristiwa menyayat hati seperti ini sememangnya tidak dapat dielakkan sama sekali, atau ia berpunca daripada ketamakan dan kerakusan manusia menodai alam sekitar sehingga bumi seolah-olah tidak selamat lagi untuk diduduki.

Lebih daripada itu, umat Islam secara khususnya diseru mendekatkan diri kepada Ilahi sebagai sumber kekuatan jiwa dalam menangani sebarang ujian mendatang. Pelbagai ujian daripada kematian, kekurangan makanan dan harta benda akan mewarnai kehidupan hinggalah ke akhirnya.

Monday 23 May 2011

NERAKA DUNIA…………………..

Petikan ini di ambil dari Berita harian bertarikh 24 may 2011......bersama - sama lah kita hayati apa yang terkandung didalam penceritaan ini untuk kita jadi kan iktibar dan moga ia menjadi keinsafan terhadap jiwa dan hati kita semua...insyaallah..........................................


Lubuk bahaya: Pokok gergasi, landskap aneh, ekstrem dan gas beracun antara lokasi dilabel ‘neraka’ dunia

TANYALAH sesiapa saja - hatta manusia paling kejam sekali pun - tiada siapa yang ingin menjadi penghuni neraka. Ia yang dikaitkan dengan panas, api dan bentuk seksaan mengerikan sudah cukup membuatkan tempat itu tidak ingin dijejaki langsung walaupun sekadar dalam mimpi.

Tidak kira apa jenis gambaran yang timbul mengenai neraka, ia bukan sesuatu yang baik dan molek sesuai dengan kedudukannya sebagai kediaman tetap iblis. Sebagai umat Islam, gambaran neraka cuma diperoleh menerusi al-Quran.
Namun hakikatnya, ada beberapa tempat di dunia ini sebaliknya kerap dilabel atau diumpamakan neraka kerana pelbagai sebab dan pastinya bukan tempat pilihan untuk dikunjungi ketika bercuti. Alasannya, selain membahayakan akibat faktor pelepasan gas beracun, ia juga dikaitkan dengan bahaya berikutan geografi serta rupa fizikalnya yang ekstrem dan cukup menggerunkan. Tidak ketinggalan, bentuk muka buminya yang pelik dan aneh dengan batuan serta tumbuh-tumbuhannya bersaiz gergasi dan tidak menepati aspek geografi fizikal pada masa kini.
Namaskar Pass di Iceland, dikenali sebagai ‘Pintu Masuk ke Neraka’ mendapat gelaran itu kerana landskapnya yang aneh dan pelbagai. Jauh bertentangan dengan negara tempat letaknya yang sepatutnya sejuk, Namaskar Pass, pula dipenuhi kawah gunung berapi yang mendidih, air pancut panas, kolam lumpur malah pembentukan lahar.

Gabungan itu menjadi keseluruhan tempat berkenaan sentiasa hidup dengan tenaga yang mendidih berterusan.

Tidak kurang ngeri ialah Bisti Badlands, padang pasir tandus di New Mexico yang digambarkan seolah-olah memasuki pintu masuk ke satu dunia lain sebaik menjejakkan kaki ke situ. Hampir 70 juta tahun dulu, ia adalah hutan hujan tetapi hari ini tempat itu kekal sebagai kawasan perkuburan kepada haiwan prasejarah, dinosaur.

Satu lagi Pintu ke Neraka terletak di pekan kecil Darvas di Uzbekistan. Kisah mengenai tempat itu sudah tersebar 35 tahun lalu apabila pakar geologi mula menggali untuk mencari gas. Dalam proses itu mereka menemui gua bawah tanah yang cukup besar untuk memuatkan peralatan menggali.
Namun tiada siapa berani memasukinya kerana dipenuhi gas. Mereka membakarnya untuk menghalang gas beracun daripada terlepas dan sejak itu ia tidak pernah terpadam. Tiada siapa tahu berapa tan gas yang dibakar sejak 35 tahun lalu tetapi kelihatannya ia mungkin tidak akan habis.

Satu daripada padang pasir paling ekstrem di dunia - Victoria Dry Valley atau Lembah Kering Victoria di Antartika, adalah kawasan bebas ais paling besar yang ada di benua itu. Paras kelembapan yang amat rendah dan kekurangan liputan ais menjadi sebab utama berlakunya tiupan angin katabatic yang boleh mencecah kelajuan 321 kilometer sejam.

Satu lagi kawasan digelar ‘neraka dunia’ adalah Socotra. Sebagai pulau terbesar daripada empat pulau di Lautan Hindi, Socotra terletak kira-kira 240 kilometer ke timur Afrika Timur. Ia pulau terpencil dan satu pertiga daripada tumbuhan di situ, termasuk pokok gergasi tidak akan ditemui di tempat lain. Socotra amat aneh sehingga digambarkan sebagai tempat paling pelik di bumi.

Bukan sukar untuk berasa tiba-tiba saja kita berada di satu planet lain yang lebih kasar dan lebih mengelirukan apabila melawat Vale de Lua, Brazil. ‘Lembah Bulan’ itu menjadi kawasan paling dilawati di Taman Negara Chapadea de Veadeiros dan dikatakan sudah berusia 1.8 juta tahun. Pembentukan batu yang dihakis oleh air Sungai San Miguel, adalah antara yang tertua dan paling aneh di dunia.

Cuma boleh dilihat daripada angkasa lepas, Richat Structure, adalah paparan pusingan di Gurun Sahara Mauritania berhampiran Ouadane. Ia menarik perhatian sejak misi ke angkasa lepas terawal kerana mudah dilihat dan mempunyai berbentuk mata lembu.

Sementara itu, Mata Air Panas Mammoth di Yellowstone, Amerika Syarikat adalah mata air yang menyimpan karbonat paling besar. Ciri mata air itu yang paling popular, Minerva Terrace, adalah hasil ribuan tahun air panas yang turut kaya hasil kalsium karbonat. Lebih dua tan mengalir ke dalam kawasan ini setiap hari.

Satu lagi lokasi yang digeruni adalah padang geotermal paling aktif di kawasan Rotorua, New Zealand. Ia diberi gelaran Pintu Neraka kerana bau busuk air dicemari belerang dan kolam lumpur. Di sekitar gunung berapi di Pulau Utara New Zealand dan kawasan geotermal, hampir 1,000 spesies bakteria paling pelik ditemui di sebalik suhu, paras asid, alkali, tekanan dan kerapnya tanpa cahaya matahari atau oksigen.

Hakikatnya, semua lokasi ini sememangnya jauh tersasar daripada definisi neraka seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Tetapi mungkinkah kewujudannya boleh dijadikan peringatan kepada manusia betapa neraka akhirat jauh lebih menakutkan?

Friday 20 May 2011

"PEMBUANGAN BAYI ADALAH SUATU JENAYAH"

artikal nie di ambil dari laman web JAIS......sama -sama lah kita hayati dan fikirkan...........mengapa manusia masih sanggup melakukan p[erkara sebegitu?....masyaallah.


"PEMBUANGAN BAYI ADALAH SUATU JENAYAH"
Isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Ada yang menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.
Inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masakini. Maksiat dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.

Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui.

Apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.
Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi

Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Namun apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama dari ibu bapa yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan? Tetapi ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada diantara ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan dilupakan sedikit demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa.

Mungkin juga ianya berpunca dari kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah didalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat. Namun semuanya datang dari diri remaja itu sendiri samada mereka ingin memilih jalan yang betul atau tidak. Ini kerana diri sendiri sahaja yang mampu megubah segalanya.

Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Ini kerana gejala pembuangan bayi ini adalah satu kesalahan yang amat kejam dan lebih kejam lagi dari perbuatan haiwan. Sedangkan haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anak-anaknya sehingga sanggup mati demi anak. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-A'araf ayat 179:
Maksudnya:
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia,mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".
Oleh itu, renung-renungkanlah..........................


Disediakan oleh
Bahagian Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor